Ahad, 24 Jun 2012

SIFAT MAZMUMAH


Sifat mazmumah itu sifatnya tercela,
tiada yang sempurna melainkan anbiya sahaja,
kita belum tentu selamat darinya,
lebih-lebih lagi orang yang leka.

Antaranya ujub akan diri kita,
merasakan kita sempurna tanpaNya,
sedarlah diri sedarlah sentiasa,
hidup kita ini sementara sahaja.

Sifat takabbur sifat yang dicela,
binasa syaitan juga kerananya,
lalu untuk apa meninggikan diri kita,
sedangkan api menjalar-jalar menunggu sentiasa.

Waspadalah dengan sifat ini,
ramai menzahirkan tawaddu' menagihkan simpati,
sedangkan batinnya takabbur amatlah tinggi,
melalui pakaian dan perbuatannya itu yang pasti.

Sifat riak amat halus sekali,
memenuhi hati selalu tidak disedari,
bagaimana boleh melakukan sesuatu bukan kerana Ilahi,
sedangkan Allah memandang dan mengetahui isi hati.

Datanglah dia di akhirat nanti,
mengharapkan balasan dari Allah yang pasti,
barulah tahu dia sebenarnya telah rugi,
bila amalannya sudah tiada nilai disisi.

Hasad pula jahat sekali,
mendorong manusia melakukan kejahatan,
terhadap saudaranya yang dicintai,
merasa senang bila nikmatnya hilang.

Sum'ah pula sifat kotor sekali,
melakukan sesuatu untuk dikenali,
lalu diangkat ia setinggi-tinggi,
disisi Allah nerakalah pasti.

Mengumpat pula malapetaka lisan,
mencela saudaranya tanpa belas kasihan,
alangkah ruginya pahalanya hilang,
akibat selalu memburukkan orang.

Banyak lagi sifat yang tercela,
antaranya mengharapkan balasan didunia semata-mata,
bukankah kita semua mati akhirnya,
lalu untuk apa harapkan balasan sementara.

Sesungguhnya banyak lagi sifat yang ada,
semua ini sebahagian besar sahaja,
buat muhasabah dan renungan,
kerana semua tidak terlepas dari dugaan.

Perelokkan hatimu ini pesananku,
sia-sia zahirmu kerana mengabaikan batin,
sesungguhnya Allah memandang kepada qalbumu,
pada hari perhimpunan tempat dihisabkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan